Showing posts with label Emosi. Show all posts
Showing posts with label Emosi. Show all posts

Wednesday, September 13, 2023

SEPTEMBER 2023

Subhanallah.....

-dari posting terakhir pada Mac 2023 kini sudah menjengah September 2023, lajunya masa berlari.

Apa khabar kawan-kawan yang masih setia ber blogging? Doa saya semoga anda semua dalam peliharaan Allah swt., berbahagia dengan kehidupan yang dilalui dan dipermudahkan segala urusan hidup di dunia ini.

Saya, seperti yang dicerita dalam post Mac lalu- masih memegang positif, cuba terus positif dan sentiasa berdoa agar sentiasa positif minda, namun antara senggang waktu, kadangkala saya tewas juga.

Fasa turun naik emosi sangat colourful. Enak sungguh emosi ini mempermain-mainkan jiwa saya, haishh... hahaha...

Kawan-kawan,

Panjang umur kita jumpa lagi ya!


Assalamualaikum semua.

Wednesday, March 01, 2023

MAC SUDAH!

1 Mac 2023

Assalamualaikum semua....

harap berada dalam situasi yang menyenangkan, ceria dan bergirangan di samping yang tersayang.

Mac bermula dengan basah ya.

Di sini hujan renyai sejak subuh, dan hingga saat jemari saya menulis ini renyai masih belum berjeda.

Nyaman suasana melihat titis-titis halus merembas dari kelopak langit nan tinggi. Pun jangan pula suka-suka bermain hujan....bisa sakit kepala jika terkena hujan sebegini, kalau badan tidak tahan.


Saya ok.

Erm...maksud saya, berkaitan kesihatan saya. Penghujung Februari saya mendapat sedikit kekuatan merubah emosi saya ke arah yang lebih positif.

    - tukar mindset

    - banyakkan berdoa

2 perkara ini yang saya buat.

Alhamdulllah buat masa ini saya ok. Yang mendatang saya belum tahu. Jadi saya hanya mengikut peredaran waktu, di samping meneruskan 2 perkara ini.


Terima kasih kepada rakan-rakan blogger yang sudi memberi nasihat dan saranan, untuk saya cuba.


Jumpa lagi.


Wassalam.

Thursday, January 26, 2023

2023, tolong berbaik dengan aku!

Assalamualaikum semua yang masih tekun membaca dan sudi berziarah ke blog ini. Semoga kalian dalam rahmat Allah SWT dan beroleh keberkatan hidup dalam meniti usia yang masih berbaki.

Wow, tersedar sudah hampir ke penghujung Januari 2023. Belum sempatpun saya mengucapkan selamat tahun barharu kepada kawan-kawan, pantas betul masa berlari, terkehel saya dibuatnya.

Imbas sedikit tahun 2022 - saat melangkah ke suku terakhir tahun  itu, adalah merupakan saat termurung saya setakat ini. Pada waktu itu, saya sangat mahu 2022 berlalu pergi dengan cepat. Saya penat, saya menyampah, saya meluat.

Bermula Oktober, selepas saya berkonfrantasi dengan pihak Klinik Gyne berkaitan hal pembedahan, dengan Klinik Psikaitri yang saya rasa tidak membantu, saya diamuk bermacam emosi buruk.

Emosi buruk itu terbawa-bawa ke ruang kerja saya. Saya jadi tidak suka kepada rakan sekerja, malah saya tidak suka kepada ketua saya, gara-gara saya rasa mereka tidak memahami situasi sakit saya. Saya dibebani dengan tugas-tugas yang tak semena-mena menjadi tugas saya akibat kesilapan percaturan pihak pengurusan.

Kesudahannya, saya menjadi tidak seronok untuk hadir bekerja. Saya berkira-kira mahu memohon pertukaran ke PTj lain, sebagai protes terhadap pihak pengurusan.

Biarlah walau belum 2 tahunpun saya di sini, nak buat apa tunggu kalau hati tidak gembira. Ada terfikir, jika emosi saya yang bermasalah, pergi bertukar kemanapun kau tak akan gembira...ya saya tahu itu, tapi biarlah...itu sahaja yang mampu saya fikir buat masa ini. Kadangkala saya hanya mahu tisur sepanjang masa, supaya tak memikirkan hal-hal sekeliling.

Oh tuhan...mohon petunjuk Ya Rabb...

Saya perasan, takdir sakit ini menyebabkan saya mudah menjadi pembenci, saya benci pada semua perkara yang ada di keliling saya, saya benci pada semua perkara yang berlaku kepada saya, saya benci rupa paras saya, saya benci diri sendiri -  jadi apa yang dapat membantu saya?

...rapuhnya rasa...


'langit 2023

payungi aku dengan kasih sayangmu

aku resah menilai hatiku

aku buntu memahami jiwaku

bantu aku

berbaiklah dengan aku'




Tuesday, September 27, 2022

SESI BERSAMA PSIKIATRI

Haha....

usai sesi bersama psikiatri semalam saya hanya mampu ketawa pendek; sebab tidak tahu ia berhasil atau tidak memadamkan amarah saya.

Kosong.

Dalam sesi yang dipanggil sesi temubual  oleh psikiatri itu ia berkisar :

1) keadaan emosi saya ketika saya mendapatkan surat rujukan ke klinik psikiatri

2) keadaan emosi saya sekarang

3) 8 soalan test emosi yang saya isi dalam borang

4) go through jawapan saya setiap satu (3) 

5) latar belakang keluarga dan akademik saya

6) kesimpulan

7) saranan beliau


Saya terus kepada (6) kesumpulan ;

- emosi saya masih terkawal

- tidak menghadapi 'depression' 

- saya msih boleh menjalani hidup yang normal

- saya tidak perlukan ubat


(7) Saranan Dr. Psikiatri itu;

     - Hospital tidak boleh dipersalahkan atas penyakit yang saya alami

     - Ini adalah ujian 

     - Sekiranya ada rasa amarah kepada hospital, boileh mencuba rawatan di hospital lain

     - Soal pembedahan, buat solat istikharah, catatkan kebaikan dan keburukan pembedahan

        itu


.....maknanya saya ok jela kan ni...

tapi dia masih nak jumpa saya 4 bulan lagi!


....saya rasa buang masa....

Tuesday, August 23, 2022

MEMBUAT KEPUTUSAN (11)

Assalamualaikum semua yang masih sudi hadir ke teratak jiwa saya ini.

Di pagi Selasa yang dirai deraian hujan ini, semoga segala doa untuk kebaikan kita di angkat dan dimakbul oleh Allah SWT.

Semoga saya dan anda, juga orang sekeliling yang kita kasihi dalam peliharaaan Yang Esa, sihat tubuh badan, berbahagia jiwa raga.

Jika dalam situasi diuji, semoga dipermudahkan urusan dan dipertingkatkan kesabaran dan keredaan.

Saya Angah,
Akhirnya telah menangguh temujanji dan jadual pembedahan. 

Ditakdirkan saya sakit perut cery bery tanpa sebab yang boleh dikaitkan, padahal makan saya tiada yang pelik, lalu membawa saya berjumpa Doktor di kawasan tempat kerja. Akhirnya terkait, bahawa jika kita terlalu stress perut kita boleh meragam juga. Doktor pula jenis peramah dan sudi mendengar 'bebelan' saya. Akhirnya dia mengeluarkan surat rujukan untuk saya bertemu psikiatri.

Saya gembira?
hahahaha...lucu pulak, kalau gembira jumpa psikiatri. Sebenarnya lebih kepada lega. Lega dapat extend sikit tarikh pembedahan. Lega memikirkan mungkin pakar yang saya akan jumpa nanti akan dapat melerai sedikit trauma saya...mungkin.

September 22, 2022 - tarikh temujanji yang saya perolehi untuk berjumpa pakar psikiatri.....demikianlah pelarian saya, pelaraian yang belum tahu hujung ceritanya.

Sekadar berkongsi,
Semasa saya bleeding tanpa henti berbulan-bulan hari tu, atas nasihat mak saya, saya mengamalkan surah  Al-Fil, sebanyak 21 kali setiap hari selepas solat asar, selama 21 hari tanpa tinggal, jika terlupa, perlu ulang dari mula.

Ajaibnya kuasa Allah, selepas hari ketiga, beleeding saya sudah berhenti. Kini sudah 2 bulan period saya normal. Alhamdulillah.

Saya kongsikan juga cara amalannya:

1) 1 x Al-Fatihah
2) 3 x Al- Ikhlas
3) 3 x Selawat Nabi
4) 21 x Al-Fil (21 hari berturut-turut) buat hari-hari lagi bagus...

Begitulah, semuanya dengan kehendak Allah.

Usaha dan Reda.

 


Friday, June 24, 2022

TERAPI HORMON (II)

 Assalamualaikum.

Salam Jumaat penghulu segala hari.

Semoga semua dari kita yang hadir ke sini berada dalam perlindungan rahmat yang maha Esa.


Agak lama 'termenung' kisah hormon ni ya...

Sekadar memaklumkan bahawa terapi hormon terdahulu tidak berjaya. Bagai air lalu sahaja, tiada meninggalkan kesan positif terhadap permasalahan yang dialami.

27 Mei 2022, saya kembali menyerah diri ke PPUM, pendek cerita - saya diberi ubat lain untuk dicuba. CUBA...penat dengan hal cuba dan cuba sebebanarnya, tapi apa pilihan yang saya ada?

Ya, saya perlu CUBA:


Ubat ini , untuk tempoh 7 hari, sebelum temujanji lagi sebulan.


Selepas sebulan, pada 23 Jun 2022 saya kembali ke PPUM dengan rasa pelik dan berat jiwa - saya nyatakan bahawa ubat ini juga gagal befungsi pada keadaan saya- itu yang pelik. Ntah apa la penyakit saya ni...semua ubat pun seakan tak lut.

Pertemuan dengan doktor kali ini saya agak beremosi dan sedikit 'drama', saya menangis depan doktor;
bukan kerana sedih dengan penyakit, tapi saya sakit otak sebab perlu menceritakan lagi dan lagi sejarah penyakit, kerana saya berdepan dengan doktor baharu, bukan dengan doktor yang sama dalam 2 temujanji yang lalu. Saya fed-up nak ungkit sejarah sakit berulang-ulang...

Doktor itu terdiam dan menganggap saya mengalami depresi...malah sekonyongnya dia memberi cadangan untuk merujuk saya ke psikiatri.

Oh ya, saya ada sebut saya depress sebab banyak sangat ubat yang saya kena makan kepada doktor yang terdahulu!...direkod rupanya.


'Deras hujan turun di pagi Jumaat
Sederas degup jiwaku yang penat'

                                                 ...penat/adinaduana/24.6.22



Jumpa lagi...



Wednesday, March 02, 2022

TERAPI HORMON

Untuk kali ketiga.

Maknanya saya bakal dibedah buat kali ketiga.

Kerana seingat saya setiap kali sist dan fibroid membesar, ia perlu dibuang melalui pembedahan.

Terapi hormon selama 3 bulan adalah kemestian untuk tujuan mengecilkan saiz ketumbuhan.

Ia perlu supaya pembedahan lebih senang dijalankan tanpa luka yang terlau besar.

..itu kata Doktor...

Jadi saya dapat ubat ni, ubat hormon menghentikan pendarahan yang nama lainnya pil perancang dan nama sebanarnya ialah - Medroxyprogesterone Acetate.


Saya perlu makan 2 biji pagi dan 2 biji malam.

Saya dibekalkan ubat ini untuk 3 bulan sebelum berjumpa Doktor semula. 


Sebenarnya saya patut mula makan ubat ini mulai November 2021...saya bertangguh, kerana cuba menafikan bahawa saya perlu makan ubat ini. Depresi saya...

Saya cuba berharap ini semua dongengan sang Doktor kerana Doktor ingin membedah saya dengan tujuan penyelidikan dia. Seperti pembedahan-pembedahan sebelum ini. Saya tak tuduh, tapi hakikat rawatan sebelum ni, 'serumpun' pelajar perubatan mengelilingi saya saat rawatan!

Tak mengapa saya anggap ini sedekah.


Akan tetapi pada kali ini jiwa sangat memberontak, mungkin faktor usia....minda tidak putus berfikir, mengapa saat usia pertengahana 40-an saya masih berpenyakit sama?

Sungguh saya susah untuk terima.

Pun, akhirnya saya perlu makan ubat ini kerana 'bleeding' yang berpanjangan pada bulan Februari 2022.

Maka...perlu bersedialah saya untuk pembedahan, walau saya berharap ia tidak perlu dilalui lagi, saya berdoa ada keajaiban berlaku. Saya tak mahu dibedah lagi!


Tak mahu!


Monday, December 13, 2021

EPISOD BERULANG

 Assalamualaikum semua,
semoga dalam kenyamanan jiwa dan beroleh kebaikan dan rahmat dari Allah swt.

...apapun situasi kita sedang lalui, mari dahului dengan rasa penuh kesyukuran dan sentiasa berdoa untuk kebaikan tanpa jemu.

Ini bukan cerita tidak bersyukur..cuma saya mahu berkongsi perasaan.

...tersepit dalam situasi sama berulang-ulang, sangat membuahkan penat. Terdetik dibenak fikir...'lagi? haihh! 


Puisi ini saya tulis saat ke a'down'an

Saat aku merasa
Keras ujian mendatangi semula
Nyata kentalku merapuh lentur
Lantaran cerita berulang
Membuatku terasa malang

 Uji itu ujianlah
Takdir itu takdirlah
Aku itu akulah,
Berdiam
Tumpul
Terpadam bara

 Pun,
Aku masih mahu senyum
Manisku masih mesra
Menyapa hati mereka
Yang perlu kuberi bahagia


Wassalam.

Wednesday, November 10, 2021

EMOSI

 

Pagi ini hujan lebat

Lif pulak buat hal, tak buka pintu bila sampai G, malah naik semula ke tingkat atas, 2 kali, 2 kali you….hangat je hati.

Ngenangkan hujan, dah tentu speed akan slow,  tentu jalan jem…haishhhh. Mula la mulut keluar ayat-ayat puaka!

Eii…tak memasal pagi-pagi ni muka cemberut dan lidah khianat.

Kesian kucing-kucing di kaki lima, di parkir yang selalu tunggu, aku buat tak tahu je, padahal bekalan makanan memang sentiasa ada dalam beg. Panas hati punya pasal, pahala sedekahpun terlepas hari ni…apa punyer turrr.

Nasib baik masih sempat sampai ke pejabat on time. Sambil mengelap-ngelap kaki yang basah, buka what-apps, kut-kut ada mesej penting. Terbaca status seseorang tentang – kita adalah apa yang kita cakap, tutur – dan sewaktu dengannya. Jika buruk keluar dari mulut kita, itulah gambaran diri kita. Pang! Rasa terkena lempang di pipi sendiri lalu menyesal seluruh jiwa.

Jadi,

Sukar manapun hari yang kita lalui….ucaplah kata-kata yang baik – masyaallah, allah…instead of bullshit, celaka, bodoh…bla bla…

Ok…happy working!

 

…adinaduana-tulistulis.


Wednesday, March 17, 2021

Selamat Ulangtahun Pertama PKP!

16 Mac 2020, Malam itu setahun yang lalu, seluruh rakyat Malaysia berkenalan dengan PKP. Malam itu juga Balai Polis seluruh negara diserbu rakyat jelata yang ingin pulang ke kampung sebelum jam 12 tengah malam 18 Mac 2020, untuk elak terkurung di lokasi bermastautin. 

Aku nyaris-nyaris beratur sama di Balai Polis kerana sememangnya sudah sebulan membeli tiket ETS pergi-balik KL-Kuala Kangsar bertarikh 18 - 20 Mac 2020. Tapi memikirkan takut tersadai dikampung, kerana tak dibenarkan balik KL pada 20 Mac 2020 itu, maka burn sahaja tiket itu, kerana aku akan balik seorang diri...tak sampai hati meninggalkan suami dan kucing-kucing  di KL jika aku tersadai di kampung. Tapi waktu itu aku rasa mahu menangis, lantaran rindu pada mak abah yang telah 3 bulan tidak aku ziarahi.ketika itu.

17 Mac 2020, hari terakhir dibenarkan bekerja. Aku yang baharu beberapa bulan bertukar ke Unit Ijazah Tinggi, tersangat risau kerana belum mahir menguruskan kerja. Pengurusan Fakulti sudah berpesan supaya sentiasa elert dengan  emel-emel dari para pelajar yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai masalah dalam hal pengajaran dan pembelajaran. Aku risau tidak dapat menjawab persoalan mereka dengan info yang tepat. STRESS aku.

Rakan-rakan dari unit lain nampaknya lebih teruja bercerita hal-hal ikan, sayur stok makanan untuk tempoh PKP....untungla korang tak payah fikir hal kerja. (eh...dengki pulak aku)

18 Mac 2020 - bangun pagi rasa janggal, sebab lepas subuh tak perlu bersiap ke pejabat di hari Rabu!. Menjelang tengahari talian wassup mula bizi, apatah lagi emel, dengan pertanyaan  pelajarnya, dengan pensyarahnya, dengan pentadbir Fakultinya....haisshhh teruk sungguh perkenalan aku dengan hal yang bernama WFH/BDR.

....ok..selamat malam teman maya sekalian, insyaallah bersambung jika diizin Illahi.


Thursday, December 31, 2020

YEAR END DAY

 2020

Assalamualaikum semua...

Kurang dari 12 jam lagi maka berakhirlah tahun 2020. Terasa baharu semalam kelam kabut kesibukan meledani Disember 2019; pejam celik pejam celik,  tup tup Disember 2020 juga hampir berakhir hari ini.

Begitulah masa, dengan tajam memancung detik hidup kita.


Selamat tinggal 2020, tahun dicanang dan mula disebut-sebut sejak 29 tahun lalu; dengan jenama 'Wawasan 2020' yang membuat semua makhluk di Malaysia ketika itu teruja menggambarkan segala macam kemajuan dan kecanggihan di alam ini.

Pun, ketentuan Yang Esa mengatasi segalanya...2020 berlalu dengan penuh pencaroba yang tak terduga dan mewarnai jagat dengan rona kesuraman.


Selamat datang 2021,
masih meminta agar kau berbaik-baik dengan aku.


Buat semua,
Selamat meneruskan kehidupan
selagi hayat dikandung badan.




Tuesday, December 15, 2020

Disember 2020

Masyaallah...Subhanallah...sudah pertengahan Disember 2020. 

Masa berlari sepicing tidak menoleh lagi. Tinggalkan kita kelemasan cuba menongkah arus waktu yang deras dan keras sehingga ada yang lemas.

Ada yang masih rimas, tidak ketentuan defenasi hidup, sekadar membiar angin masa berhembus dan berlalu begitu sahaja. 

Akukah yang dungu itu?

Saturday, July 11, 2020

My Quote


"Tersilap langkah di suatu penjuru tidak menjadikan kau orang bersalah sepanjang usia

Ada jalur cahaya di penjuru yang lain untuk kau betulkan langkah dan teruskan langkah itu

Belajarlah menerima takdir diri yang bukan kita  sendiri yang tulis

Kita dicatur oleh yang maha berkuasa, titiplah percaya"

20/6/20/yangakankembalikepadaNya/adinaduana


Belakangan ini Angah sering diuji rasa 'down' yang tidak menentu. Entah apa punca sebenarnya, sangat meragukan- atau lebih kepada meragukan diri sendiri gayanya.

Terima kasih En. H, yang memberi inspirasi hingga terlahir 'quote' ini. Ia untuk Angah sandarkan jika terasa 'down' lagi selepas ini -  harapnya tidaklah ya.

Terima kasih semua yang masih sudi bertandang ke ruang Angah ini. Semoga kawan-kawan maya semua baik-baik sahaja..dan sentiasa dalam perlindungan Allah swt.

Wassalam.


Tuesday, December 03, 2019

Bila Penat




     M.U.A.L

     Pelawas bagi kemualan
     telan yang pahit
     pamer yang manis;

     beracun dalam qalbu
     sembuh sendiri dibawa masa
     kebisulan yang menanahkan amarah
     berontak berhempas dalam nanar;

     bisu dalam bicara
     berkata di ekor mata
     terluah dalam suara yang tidak mesra
     kebodohan apakah ini?
     membiar kebaculan
     memerangkap, menjerat
     dengan tangsi angkuh
     kau fikir kau ampuh?
     silakan…
     tapi…
     kau ingat satu perkara
     aku juga tidak rapuh!

                        adindauana/bilapenat/2.12.2019


Image result for bila penat

Sunday, October 13, 2019

Aku tanya apa khabar....

Asslamualaikum buat semua yang masih hadir menjenguk ke laman Angah ni,,,
semoga kalian sihat sejahtera selalu hendaknya...

Lama tak bersua ya!

Begitulah manusia dan masa, seringnya tertinggal oleh detik yang beredar, tanpa tersedari telah lama berlalu pergi dan Angah masih di sini cuba menggapai jarak agar tidak terlalu jauh ditinggalkan.

Sejak post terakhir sekitar Julai lalu, Angah  titipkan puisi  tentang kerja, ironinya kesunyian dan keberdiam Angah juga adalah berpunca dari hal kerja.

3 bulan kebelakng ini, hidup Angah  terfokus kepada kerja...sehingga hilang nikmat hidup!  bunyi terok kan...memang terokk

Kalau nak tahu, kena tunggu...sebab ceritanya agak paaanjaang....

ok, wassalam, jumpa lagi jika si izin Allah...

😃

Tuesday, September 11, 2018

1 Muharam 1440H..semoga bahagia menjadi milik kita

Assalamualaikum teman-teman yang masih sudi bermaya di laman Angah's Corner ini. Terima kasih diucapkan atas kesudian kalian meneruskan silaturahim, memanjangkan ukhuwah dan mendoakan yang baik-baik antara sesama kita.
 
Selamat tahun baharu hijrah buat semua. Barangkali tahun baharu hijrah ini tidaklah sehebat sambutan tahun baharu mesihi, tetapi sebagai umat islam wajar  kiranya kita merenung dan bermuhasabah dalam memperbaiki diri supaya menjadi hamba Allah yang lebih baik dari semasa ke semasa...
 
Semalam buku amalan yang telah diangkat dan hari ini buku amalan baharu yang dibentang, untuk dicoret pula sepanjang tahun 1440 ini, dengan bermulakan doa semoga banyak yang baik akan tercatat dan dirakam. Semoga Allah meletakkan dan memandu kita di lorong yang lurus sepanjang masa; kerana kita insan yang lemah, iman yang sentiasa goyah, hati yang selalu parah, maka molek kita sentiasa memohon perlindungan daripada sang pencipta.
 
Ada azam baharu?
 
Tak salah  meneka...semua  inginkan kebahagiaan bukan? Ya, BAHAGIA
 
Ada orang dari kecil hingga dewasa hidupnya sentiasa bahagia...jelesnye..ups..hihii..
Ada orang sehingga tua..  tidak perrnah bahagia...huh, ada ye..?
 
Di mana letaknya bahagia?
Bahagia letaknya di hati, hati yang berbunga tenang, harum dan suci lalu terserlah lagi menyerlah keserian di wajah dan terpamerlah bahagia
 
Mungkin:
Ada orang bahagianya pada wang yang banyak
Ada orang bahagianya pada  cantik/bergaya pasangan hidup mereka
Ada orang bahagianya pada anak-anak yang dimilik
Ada orang bahagianya pada kerjaya yang cemerlang
Ada orang bahagianya pada khidmad bakti kepada masyarakat
 
Tidak salah!
Jika berbalik pada asasnya iaitu hati yang tenang dan tiada resah
Bahagia lah dengan cara apapun, selagi tidak membelakangkan Yang Maha Esa
 
Aku?
Terus terang, aku bukan seorang yang  ada matematik untuk bahagia, tidak tahu pula bagaimana hendak disukat
Cuma..aku selalu berdoa;
Apa yang aku kurang, aku minta Allah tambah
Apa yang aku ada  aku minta Allah memberkati
Jika itu sahaja yang membuat aku bahagia..kupanjatkan syukur atas segala limpahNya
 
Semoga keberkatan dan rahmat Allah sentiasa menaungi hidup kita semua
 
Selamat Tahun Baharu Hijrah 1440.
 
Wassalam.

Tuesday, August 14, 2018

Eh termarah pulak aku!


Boleh tak aku nak beri pendapat JUJUR!

Korang yang duduk di level menteri timbalan menteri ni tak payah tunjuk jaguh sangat kunun nak bersifat adil kepada semua pihak

tak habis-habis menyakitkan hati cadangan korang nih

yang nak peduli sangat golongan transgender ni kenapa? sejak bila pulak orang Malaysia ni meminggirkan diaorang? menindas diaorang?

Sekarang ni orang biasa macam aku ni pulak yang rasa tertindas!

Korang layan, makin menjadila lahanat  lahanat tu

Kalau dah jantan tu jantan la, ada aku suruh korang pakai mekap jadi pempuan bagai? lepas tu menyusahkan orang - minta hak itu ini!

Kau nak masuk tandas OKU, mari sini aku terajang kau sampai patah kaki, baru aku rela kau masuk kacau hak OKU.

MUAK!!!



https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/461427/transgender-disaran-guna-tandas-oku

Friday, May 18, 2018

Tertinggal Oleh Masa...

Assalamualaikum...kawan-kawan yang masih setia ber blogging.

Apa khabar semua? Angah harap semuanya dalam keadaan sihat walafiat dan beroleh kebahagiaan yang berpanjangan...

Salam Ramadhan juga untuk semua, semoga beroleh keberkatan dan dapat menyempurnakan ibadah dengan sempurna.

Banyak yang berlaku dalam hidup Angah beberapa bulan ni ya...nak ber throwback pun rasa macam buang masa je...apa kata Angah ambil langkah ke hadapan sahaja.

Harap selepas posting yang  ini, akan ada banyak cerita yang lain pula ye...insyaallah.

Apa macam kerajaan baharu? sebagai rakyat marhaen ni Angah rasa dapat menerima seadanya..semoga yang terbaik sahaja untuk negara kita yang tercinta ini.

ok lah. Salam rindu buat semua.

Panjang usia kita berjumpa lagi.

Wassalam

Thursday, December 28, 2017

Apa Ada Pada 2017 ...ANGAH

Untuk seorang yang bernama Angah ini, 2017 hadir saat dia diuji sakit. Lagi

Sakit yang berulang-ulang. Sakit yang menyeretnya ke ruang yang muram.


Ya, 2017 agak murah bagi Angah;

Sakit yang belum ada penghujungnya

Cuti tahunan yang habis untuk follow-up checkup 

Masa yang terasa suntuk berubat alternatif itu ini 

Wang juga mengalir bagai air

Badan gemuk kerana ubat-ubatan yang tak putus di makan

Bersabit pula dengan kerja di pejabat yang semakin tidak  menyeronokkan

Suasana sosial yang makin memenatkan

....pada kahirnya Angah terfikir bahawa Angah ini sudah memasuki fasa berusia TUA

Hilang keterujaan!

Jadi?

Jadi...nak mohon jasa baik kaawan-kawan sekalian untuk memberi pandangan...supaya 2018 yang bakal datang ini Angah kembali sebagai Sang Ceria!


Wassalam


Monday, May 08, 2017

Bagaimana Menghadapi Penyakit Yang Berulang-Ulang?

Bissmillahirmanirrahim. Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.


Rasa marah? marah pada siapa? pada diri? apa salah diri?

Marah pada takdir? itu sama macam marah pada sang pencipta…takut pulak aku…

Entah!

Aku cuba menjadi se positive yang mungkin, tapi lelah jiwa yang berkudrat lemah ini selalu menghasut jahat pemikiran yang negative.


Jadi aku harus bagaimana??

Sakit perit pembedahan hujung tahun 2015, masih belum hilang nyerinya, sudah aku dicadangkan untuk diulang...lagi dan lagi atas penyakit yang sealiran....ohh

...izinkan aku mengumpul kekuatan. Dan mohon doakan aku.

Wassalam