Wednesday, March 01, 2023

MAC SUDAH!

1 Mac 2023

Assalamualaikum semua....

harap berada dalam situasi yang menyenangkan, ceria dan bergirangan di samping yang tersayang.

Mac bermula dengan basah ya.

Di sini hujan renyai sejak subuh, dan hingga saat jemari saya menulis ini renyai masih belum berjeda.

Nyaman suasana melihat titis-titis halus merembas dari kelopak langit nan tinggi. Pun jangan pula suka-suka bermain hujan....bisa sakit kepala jika terkena hujan sebegini, kalau badan tidak tahan.


Saya ok.

Erm...maksud saya, berkaitan kesihatan saya. Penghujung Februari saya mendapat sedikit kekuatan merubah emosi saya ke arah yang lebih positif.

    - tukar mindset

    - banyakkan berdoa

2 perkara ini yang saya buat.

Alhamdulllah buat masa ini saya ok. Yang mendatang saya belum tahu. Jadi saya hanya mengikut peredaran waktu, di samping meneruskan 2 perkara ini.


Terima kasih kepada rakan-rakan blogger yang sudi memberi nasihat dan saranan, untuk saya cuba.


Jumpa lagi.


Wassalam.

Thursday, February 02, 2023

Tak Boleh Komen

 


Kawan-kawan...saya dah ziarah blog kawan-kawan, tapi saya tak boleh komen....tahu tak kenapa eh...


403. That’s an error.

We're sorry, but you do not have access

Thursday, January 26, 2023

2023, tolong berbaik dengan aku!

Assalamualaikum semua yang masih tekun membaca dan sudi berziarah ke blog ini. Semoga kalian dalam rahmat Allah SWT dan beroleh keberkatan hidup dalam meniti usia yang masih berbaki.

Wow, tersedar sudah hampir ke penghujung Januari 2023. Belum sempatpun saya mengucapkan selamat tahun barharu kepada kawan-kawan, pantas betul masa berlari, terkehel saya dibuatnya.

Imbas sedikit tahun 2022 - saat melangkah ke suku terakhir tahun  itu, adalah merupakan saat termurung saya setakat ini. Pada waktu itu, saya sangat mahu 2022 berlalu pergi dengan cepat. Saya penat, saya menyampah, saya meluat.

Bermula Oktober, selepas saya berkonfrantasi dengan pihak Klinik Gyne berkaitan hal pembedahan, dengan Klinik Psikaitri yang saya rasa tidak membantu, saya diamuk bermacam emosi buruk.

Emosi buruk itu terbawa-bawa ke ruang kerja saya. Saya jadi tidak suka kepada rakan sekerja, malah saya tidak suka kepada ketua saya, gara-gara saya rasa mereka tidak memahami situasi sakit saya. Saya dibebani dengan tugas-tugas yang tak semena-mena menjadi tugas saya akibat kesilapan percaturan pihak pengurusan.

Kesudahannya, saya menjadi tidak seronok untuk hadir bekerja. Saya berkira-kira mahu memohon pertukaran ke PTj lain, sebagai protes terhadap pihak pengurusan.

Biarlah walau belum 2 tahunpun saya di sini, nak buat apa tunggu kalau hati tidak gembira. Ada terfikir, jika emosi saya yang bermasalah, pergi bertukar kemanapun kau tak akan gembira...ya saya tahu itu, tapi biarlah...itu sahaja yang mampu saya fikir buat masa ini. Kadangkala saya hanya mahu tisur sepanjang masa, supaya tak memikirkan hal-hal sekeliling.

Oh tuhan...mohon petunjuk Ya Rabb...

Saya perasan, takdir sakit ini menyebabkan saya mudah menjadi pembenci, saya benci pada semua perkara yang ada di keliling saya, saya benci pada semua perkara yang berlaku kepada saya, saya benci rupa paras saya, saya benci diri sendiri -  jadi apa yang dapat membantu saya?

...rapuhnya rasa...


'langit 2023

payungi aku dengan kasih sayangmu

aku resah menilai hatiku

aku buntu memahami jiwaku

bantu aku

berbaiklah dengan aku'




Tuesday, September 27, 2022

SESI BERSAMA PSIKIATRI

Haha....

usai sesi bersama psikiatri semalam saya hanya mampu ketawa pendek; sebab tidak tahu ia berhasil atau tidak memadamkan amarah saya.

Kosong.

Dalam sesi yang dipanggil sesi temubual  oleh psikiatri itu ia berkisar :

1) keadaan emosi saya ketika saya mendapatkan surat rujukan ke klinik psikiatri

2) keadaan emosi saya sekarang

3) 8 soalan test emosi yang saya isi dalam borang

4) go through jawapan saya setiap satu (3) 

5) latar belakang keluarga dan akademik saya

6) kesimpulan

7) saranan beliau


Saya terus kepada (6) kesumpulan ;

- emosi saya masih terkawal

- tidak menghadapi 'depression' 

- saya msih boleh menjalani hidup yang normal

- saya tidak perlukan ubat


(7) Saranan Dr. Psikiatri itu;

     - Hospital tidak boleh dipersalahkan atas penyakit yang saya alami

     - Ini adalah ujian 

     - Sekiranya ada rasa amarah kepada hospital, boileh mencuba rawatan di hospital lain

     - Soal pembedahan, buat solat istikharah, catatkan kebaikan dan keburukan pembedahan

        itu


.....maknanya saya ok jela kan ni...

tapi dia masih nak jumpa saya 4 bulan lagi!


....saya rasa buang masa....

Tuesday, August 23, 2022

MEMBUAT KEPUTUSAN (11)

Assalamualaikum semua yang masih sudi hadir ke teratak jiwa saya ini.

Di pagi Selasa yang dirai deraian hujan ini, semoga segala doa untuk kebaikan kita di angkat dan dimakbul oleh Allah SWT.

Semoga saya dan anda, juga orang sekeliling yang kita kasihi dalam peliharaaan Yang Esa, sihat tubuh badan, berbahagia jiwa raga.

Jika dalam situasi diuji, semoga dipermudahkan urusan dan dipertingkatkan kesabaran dan keredaan.

Saya Angah,
Akhirnya telah menangguh temujanji dan jadual pembedahan. 

Ditakdirkan saya sakit perut cery bery tanpa sebab yang boleh dikaitkan, padahal makan saya tiada yang pelik, lalu membawa saya berjumpa Doktor di kawasan tempat kerja. Akhirnya terkait, bahawa jika kita terlalu stress perut kita boleh meragam juga. Doktor pula jenis peramah dan sudi mendengar 'bebelan' saya. Akhirnya dia mengeluarkan surat rujukan untuk saya bertemu psikiatri.

Saya gembira?
hahahaha...lucu pulak, kalau gembira jumpa psikiatri. Sebenarnya lebih kepada lega. Lega dapat extend sikit tarikh pembedahan. Lega memikirkan mungkin pakar yang saya akan jumpa nanti akan dapat melerai sedikit trauma saya...mungkin.

September 22, 2022 - tarikh temujanji yang saya perolehi untuk berjumpa pakar psikiatri.....demikianlah pelarian saya, pelaraian yang belum tahu hujung ceritanya.

Sekadar berkongsi,
Semasa saya bleeding tanpa henti berbulan-bulan hari tu, atas nasihat mak saya, saya mengamalkan surah  Al-Fil, sebanyak 21 kali setiap hari selepas solat asar, selama 21 hari tanpa tinggal, jika terlupa, perlu ulang dari mula.

Ajaibnya kuasa Allah, selepas hari ketiga, beleeding saya sudah berhenti. Kini sudah 2 bulan period saya normal. Alhamdulillah.

Saya kongsikan juga cara amalannya:

1) 1 x Al-Fatihah
2) 3 x Al- Ikhlas
3) 3 x Selawat Nabi
4) 21 x Al-Fil (21 hari berturut-turut) buat hari-hari lagi bagus...

Begitulah, semuanya dengan kehendak Allah.

Usaha dan Reda.

 


Wednesday, August 03, 2022

MEMBUAT KEPUTUSAN

Semasa temujanji pada 23 Jun 2022,

Doktor melakukan ultrasound di abdomen, dan mendapati rahim saya terlalu tebal kerana Endometriosis.

Bukan lagi fibroid, bukan juga cyst yang disebut-sebut sebelum ini....

Saya memang perasan, perut saya memang agak besar. Mak saya pun pernah tegur sewaktu Aidiladha hari tu, beliau meminyak dan mengurut perut saya..''ish ish...pasei apa melembang sangat perut ni..."

Ya, itulah Endometriosis:

Penyakit Endometriosis
Endometriosis pula ialah satu keadaan dimana selaput endometrium ini bukan sahaja tumbuh didalam rahim, tetapi juga diluar rahim seperti pada salur fallopian, ovari atau usus-usus kecil atau besar. Ia dipanggil implan.­­

Memandangkan implan ini terbentuk diluar rahim, ia mengalami kesukaran keluar daripada badan sewaktu haid dan menyebabkan kesakitan.
Lama- kelamaan, darah akan berkumpul dan membentuk ‘cysts  serta menyebabkan perekatan (adhesion) yang menyukarkan pembenihan. - Portal MyHealth

Down.

Doktor separati maklum bahawa saya agak keberatan melakukan pembedahan bagi kali ke-tiga, jadi beliau mencadangkan saya 'mencuci' rahim (D&C) untuk menyedut darah-darah yang melekat, selepas itu memasang Merina alat seperti IUD untuk mengelakkan pendarahan bagi tempoh 5 tahun, sehingga usia menopause sebenar saya.

Oleh kerana perasaan saya berbaur kerana drama 'tangisan', jadi saya tanpa berfikir panjang bersetuju cadangan doktor untuk melakukan proses D&C asalkan saya tidak dibedah.


ini alat yang dikatakan boleh menghalang pendarahan


Dengan persetujuan itu, saya perlu menjalani beberapa siri check-up:

1) ujian darah
2) ujian di klinik anestatik
3) swab
4) proses D&C

Saya jalani perkara 1 & 2.....tiba-tiba, melintas di fikiran saya...D&C ini sungguh menakutkan...

...akhirnya, saya tidak jadi buat D&C, memikirkan risiko yang agak menakutkan.

Saya diminta ke Gyne semula, pada tarikh yang sepatutnya saya di D&C....

...saya takut dimarahi doktor sebenarnya...dan ye...ayat pertama doktor....'why...what happen  dah beri tarikh cancel pula....

kecut saya, walaupun perlahan tapi nadanya sungguh dalam, dah la ada 2 ketul doktor pelatih dan seorang pesakit dan doktor lain dalam bilik sama....

doktor ulang, 'why puan.....'

terpaksa lah saya jawab, 'saya nak bedah full, tak nak D&C, sebab dua-dua pun saya kena full bius...saya takut D&C tak berjaya, akhirnya kena bedah full juga'

tapi sebenar-benarnya, itu bukan jawapan yang saya nak beri...tapi cuak tengok reaksi doktor punya pasal, itu jawapan yang saya rasa selamat...adehhh

Doktor laju ucap tahniah, 'very good decision'  - lalu memberi tarikh bedah pada 26 Oktober 2022

...dan sejak hari itu fikiran saya tak menentu, kadang rasa kosong, kadang cemas, kadang saya shaking dan seram sejuk...

Patutkah saya jumpa psychologist? sekurang-kurangnya untuk menenangkan saya? 

arghhh...







Friday, June 24, 2022

TERAPI HORMON (II)

 Assalamualaikum.

Salam Jumaat penghulu segala hari.

Semoga semua dari kita yang hadir ke sini berada dalam perlindungan rahmat yang maha Esa.


Agak lama 'termenung' kisah hormon ni ya...

Sekadar memaklumkan bahawa terapi hormon terdahulu tidak berjaya. Bagai air lalu sahaja, tiada meninggalkan kesan positif terhadap permasalahan yang dialami.

27 Mei 2022, saya kembali menyerah diri ke PPUM, pendek cerita - saya diberi ubat lain untuk dicuba. CUBA...penat dengan hal cuba dan cuba sebebanarnya, tapi apa pilihan yang saya ada?

Ya, saya perlu CUBA:


Ubat ini , untuk tempoh 7 hari, sebelum temujanji lagi sebulan.


Selepas sebulan, pada 23 Jun 2022 saya kembali ke PPUM dengan rasa pelik dan berat jiwa - saya nyatakan bahawa ubat ini juga gagal befungsi pada keadaan saya- itu yang pelik. Ntah apa la penyakit saya ni...semua ubat pun seakan tak lut.

Pertemuan dengan doktor kali ini saya agak beremosi dan sedikit 'drama', saya menangis depan doktor;
bukan kerana sedih dengan penyakit, tapi saya sakit otak sebab perlu menceritakan lagi dan lagi sejarah penyakit, kerana saya berdepan dengan doktor baharu, bukan dengan doktor yang sama dalam 2 temujanji yang lalu. Saya fed-up nak ungkit sejarah sakit berulang-ulang...

Doktor itu terdiam dan menganggap saya mengalami depresi...malah sekonyongnya dia memberi cadangan untuk merujuk saya ke psikiatri.

Oh ya, saya ada sebut saya depress sebab banyak sangat ubat yang saya kena makan kepada doktor yang terdahulu!...direkod rupanya.


'Deras hujan turun di pagi Jumaat
Sederas degup jiwaku yang penat'

                                                 ...penat/adinaduana/24.6.22



Jumpa lagi...



Wednesday, March 02, 2022

TERAPI HORMON

Untuk kali ketiga.

Maknanya saya bakal dibedah buat kali ketiga.

Kerana seingat saya setiap kali sist dan fibroid membesar, ia perlu dibuang melalui pembedahan.

Terapi hormon selama 3 bulan adalah kemestian untuk tujuan mengecilkan saiz ketumbuhan.

Ia perlu supaya pembedahan lebih senang dijalankan tanpa luka yang terlau besar.

..itu kata Doktor...

Jadi saya dapat ubat ni, ubat hormon menghentikan pendarahan yang nama lainnya pil perancang dan nama sebanarnya ialah - Medroxyprogesterone Acetate.


Saya perlu makan 2 biji pagi dan 2 biji malam.

Saya dibekalkan ubat ini untuk 3 bulan sebelum berjumpa Doktor semula. 


Sebenarnya saya patut mula makan ubat ini mulai November 2021...saya bertangguh, kerana cuba menafikan bahawa saya perlu makan ubat ini. Depresi saya...

Saya cuba berharap ini semua dongengan sang Doktor kerana Doktor ingin membedah saya dengan tujuan penyelidikan dia. Seperti pembedahan-pembedahan sebelum ini. Saya tak tuduh, tapi hakikat rawatan sebelum ni, 'serumpun' pelajar perubatan mengelilingi saya saat rawatan!

Tak mengapa saya anggap ini sedekah.


Akan tetapi pada kali ini jiwa sangat memberontak, mungkin faktor usia....minda tidak putus berfikir, mengapa saat usia pertengahana 40-an saya masih berpenyakit sama?

Sungguh saya susah untuk terima.

Pun, akhirnya saya perlu makan ubat ini kerana 'bleeding' yang berpanjangan pada bulan Februari 2022.

Maka...perlu bersedialah saya untuk pembedahan, walau saya berharap ia tidak perlu dilalui lagi, saya berdoa ada keajaiban berlaku. Saya tak mahu dibedah lagi!


Tak mahu!


Wednesday, January 19, 2022

19th Anniversary

 Assalam....ini cerita 1 Januari 2022

Makan genaplah pernikahan angah dan che din menuju angka ke 19 tahun, mohon doa dari kawan-kawan agar kami sentiasa dalam rahmat Allah swt dan berbahagia sehingga ke Jannah. Doa kami sentiasa kuat dengan aap yang ditakdirkan untuk kami.


Terima kasih.




Friday, December 31, 2021

2021 YANG BERANSUR PERGI

Terakhir harinya 2021,
tahniah, yang menempa kejayaan dan kebahagiaan
teruskan bersama kebaikan yang banyak

takziah, yang merasa kecundang dalam hidup
namun jangan pula berduka berpanjangan
Perjuangan hidup perlu diteruskan selagi nyawa dikandung badan

aku,
terima kasih 2021
ada manis, ada sedikit kelat
yang manis itu ubat, yang kelat itu malah ubat paling mujarab
cermin di sisi
muhasabah diri
semoga 2022
berbaik baik dengan aku

selamat jalan 2021,
tinggalkan aku dalam pelangi pengalaman penuh makna
agar dapatku singkap jendela esok dengan senyuman dan lebih ketabahan.

                                                                                           ...adinaduana-tulistulis
                                                                                                                                31/12/21





Monday, December 13, 2021

EPISOD BERULANG

 Assalamualaikum semua,
semoga dalam kenyamanan jiwa dan beroleh kebaikan dan rahmat dari Allah swt.

...apapun situasi kita sedang lalui, mari dahului dengan rasa penuh kesyukuran dan sentiasa berdoa untuk kebaikan tanpa jemu.

Ini bukan cerita tidak bersyukur..cuma saya mahu berkongsi perasaan.

...tersepit dalam situasi sama berulang-ulang, sangat membuahkan penat. Terdetik dibenak fikir...'lagi? haihh! 


Puisi ini saya tulis saat ke a'down'an

Saat aku merasa
Keras ujian mendatangi semula
Nyata kentalku merapuh lentur
Lantaran cerita berulang
Membuatku terasa malang

 Uji itu ujianlah
Takdir itu takdirlah
Aku itu akulah,
Berdiam
Tumpul
Terpadam bara

 Pun,
Aku masih mahu senyum
Manisku masih mesra
Menyapa hati mereka
Yang perlu kuberi bahagia


Wassalam.

Monday, November 29, 2021

MERASA BAGUS ATAU BETUL-BETUL BAGUS

Salam semua,

Apa khabar? harap semua berada dalam suasana nyaman dan tenteram jiwa raga.

Saya...semakin berganjak usia ini, terperasan saya semakin menjadi pemerhati dan pengulas, menjadi terlalu peka pada suasana dan segala macam isinya.

Setiap saat yang saya lalui samada berkait atau tidak sengaja terkait akan menjadi bahan untuk saya berfikir dan menilai setiap sudut dan inci mengikut pemahaman dan anggapan saya. Mungkin tepat mungkin tidak, mungkin ada yang bersetuju atau mungkin ada yang tidak bersetuju. Tak mengapa, saya berdamai dengan semua pandangan.

Bagus pada saya adalah dinilai pada sikap dan hasil kerja. Bukan pada lidah yang berkata-kata. Pada saya lidah selalu berdusta dan bertujuan mengaburi kebenaran.

Orang yang betul-betul bagus, dia akan memastikan kerjanya sempurna, bermanfaat, tidak menyusahkan dan memudahkan urusan orang lain dan yang penting dia tidak mencanang apa yang diusahakan. Orang begini dia faham, dia tidak perlu bercerita sebaliknya membiarkan orang lain yang menilai. Saya suka orang yang begini. Ini orang yang BAGUS pada saya.

Tetapi sayang, mutakhir ini sering pula saya berjumpa dengan orang yang terlalu 'menjual' diri. Bagus untuk orang berniaga, tetapi untuk yang bekerja di pejabat di peringkat pentadbiran tidak ada keperluan pun bagi saya.

Saya gagal mencari sebab, mengapa orang begini terlalu inginkan orang lain tahu apa yang mereka kerjain. 

Mencari populariti? ya, mungkin mereka dapat itu...

Mencari pengaruh? ya, mungkin juga...

Tapi jangan lupa, yang tak kau cari juga kau akan dapat...iaitu ketidaksukaan orang terhadap kamu. Ini kerana kamu terlihat sangat mencuba untuk 'show-off' - nampak bagus.

Hei! bagus bukan untuk kau rasa, tetapi biar orang lain menilai, dengan itu kau akan lebih bernilai di mata orang.


Jadi, lek lek ok!






Wednesday, November 10, 2021

EMOSI

 

Pagi ini hujan lebat

Lif pulak buat hal, tak buka pintu bila sampai G, malah naik semula ke tingkat atas, 2 kali, 2 kali you….hangat je hati.

Ngenangkan hujan, dah tentu speed akan slow,  tentu jalan jem…haishhhh. Mula la mulut keluar ayat-ayat puaka!

Eii…tak memasal pagi-pagi ni muka cemberut dan lidah khianat.

Kesian kucing-kucing di kaki lima, di parkir yang selalu tunggu, aku buat tak tahu je, padahal bekalan makanan memang sentiasa ada dalam beg. Panas hati punya pasal, pahala sedekahpun terlepas hari ni…apa punyer turrr.

Nasib baik masih sempat sampai ke pejabat on time. Sambil mengelap-ngelap kaki yang basah, buka what-apps, kut-kut ada mesej penting. Terbaca status seseorang tentang – kita adalah apa yang kita cakap, tutur – dan sewaktu dengannya. Jika buruk keluar dari mulut kita, itulah gambaran diri kita. Pang! Rasa terkena lempang di pipi sendiri lalu menyesal seluruh jiwa.

Jadi,

Sukar manapun hari yang kita lalui….ucaplah kata-kata yang baik – masyaallah, allah…instead of bullshit, celaka, bodoh…bla bla…

Ok…happy working!

 

…adinaduana-tulistulis.


Monday, November 01, 2021

TOKSIK

...macam mana eh? seminggu dua di penempatan baharu ni,  terjumpa 2,3 orang manusia yang sikapnya amat menjengkelkan. Lecehnya.

...saya dah lah memang jenis yang cepat menyampah kat orang, tak boleh kontrol-itu memang kelemahan saya.

Allah...mohon kekuatan Ya Rabb...lapangkan dada, lapangkan hati dan minda ini.


TOKSIK

Mengikut En. Kamus Dewan - 

Definisi : beracun: bahan-bahan ~, asap dan bahan buangan kimia yg menyebabkan pencemaran alam; ketoksikan keadaan atau tahap (darjah) ber­acun: logam strontium dan lantanum mem­punyai kelarutan dan ~ yg rendah; komponen virus dlm vaksin influenza mempunyai ~ yg menyebabkan rasa sakit di tapak suntikan dan demam. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

...selalu dengarkan orang beri motivasi 'jauhi orang bersifat toksik...' sebab? kerana jika berada di samping orang yang bersifat toksik, jiwa kita akan merudum, sebab si pencerita ni semua tahu, semua orang ikut cakap dia, semua orang lain tak betul...diri sendiri je betul...eh!!

...saya nak cerita, kisah saya pada minggu-minggu pertama bertukar PTj (Pusat Tanggunjawab), ada seoarng 'insan' ni, asyik bercerita tentang kesibukan dia, buka mulut je semua tentang kerja yang banyak yang dia kena buat, itu, ini, begitu, begini...

...sekali dua ok lah, saya dengar dan beri respon...tapi lama-lama saya dah tak kuasa, sebab pada akhirnya saya dapat tangkap bahawa dia orang yang sangat rapat dengan big boss PTj ini. Dia memang berniat nak beritahu, semua yang dia buat adalah untuk big boss dan big boss pun ala-ala 'tak boleh hidup' tanpa dia katanya...haihh??

Apa motif kau nak cerita semua tu...

Jujur, saya rimas.






Wednesday, October 20, 2021

HATI MASIH DI SANA

21 tahun bukan sekejap kawan-kawan.

Jujur, saya sangat sayang dengan rakan-rakan di Fakulti lama. Saya tak kisahpun jika perlu berkhidmat di sana sehingga pencen...tetapi takdir tidak menetapkan saya berada di sana lagi, kerana baran seketul hati ini.

Dahulu, sewaktu bersatus junior, kita ikut orang lama, semua panduan kerja ikut sahaja, jika ada pembaharuan sama-sama berkongsi. Bertali aliran masa, sampai ketika kita pula menjadi senior dan ada junior yang mengikut kita, tetap masih boleh berkongsi hal-hal terkini yang memudahkan kerja. Namun ibarat psang setandan...ada yang tidak sama warna masaknya....kuning pekat, ceroi, kelabu, kusam, buruk pun ada..haih macam-macam, rencam sungguh!

Saya seorang yang suka memberi pandangan, demi kemaslahatan bersama, ada yang suka, ada yang diterima, ada juga yang tidak diterima, itu biasa...saya sentiasa berlapang dada, dan  neraca minda saya selalu di radar yang seimbang. 

Namun, saya tidak tahan dengan orang yang bermuka-muka, yang melempar batu sembunyi tangan, yang terlalu 'menyakat' kesabaran saya... biarlah saya pergi, sebelum terjadi sesuatu yang berkeadaan buruk.

Mungkin...jika saya punya tahap kesabaran yang sedikit tinggi waktu itu, mungkin saya  masih boleh berada di sana-masih bersusah senang dengan rakan-rakan di sana...mungkin

Sedih.

Ada kawan-kawan yang cuba memujuk, tetapi saya sangat panas waktu itu...seolah saya menidakkan hati dan perasaan serta nasihat mereka....maaflah. Jujurnya kini saya merasa sedikit kesal. Betul, kini saya rasa bebal kerana meninggalkan kawan-kawan hanya kerana bermasalah dengan sesuatu yang tertentu itu...tapi benda dah berlaku, tidak boleh undur lagi, saya cuba bertenang dan  tak mahu memikirkan sangat, kerana hidup perlu diteruskan tanpa mengenang-ngenang perkara lalu.

Betulkan?  ok... saya pasti ok...cuma selalu rindu pada kawan-kawan di sana.

eheh.

...nah seketul dua gambo bersama sebahagian kesayangan..


2014


2019


Jumpa lagi...






Monday, September 27, 2021

Assalamualaikum

 Subhanallah....

lama kosong, banyak mahu ditulis tetapi tersekat di kerongkong masa yang sempit dan menyepit. Pun begitu, yang sempit mungkin akan melonggar...kerana saya memilih untuk lari dari dhimpit dan terhimpit oleh masa..


yeihah!


setelah 21 tahun berkhidmat di Fakulti terkasihi, saya mohon beralih ke PTj lain. harap masa dan keadaan akan menyebelahi saya dengan izin Allah.

ramai terkedu dengan keberanian saya bertukar angin, pada saya...saya hanya mahu mencuba dan meneroka suasana baharu, itu sahaja...


Salam.






Wednesday, March 17, 2021

Selamat Ulangtahun Pertama PKP!

16 Mac 2020, Malam itu setahun yang lalu, seluruh rakyat Malaysia berkenalan dengan PKP. Malam itu juga Balai Polis seluruh negara diserbu rakyat jelata yang ingin pulang ke kampung sebelum jam 12 tengah malam 18 Mac 2020, untuk elak terkurung di lokasi bermastautin. 

Aku nyaris-nyaris beratur sama di Balai Polis kerana sememangnya sudah sebulan membeli tiket ETS pergi-balik KL-Kuala Kangsar bertarikh 18 - 20 Mac 2020. Tapi memikirkan takut tersadai dikampung, kerana tak dibenarkan balik KL pada 20 Mac 2020 itu, maka burn sahaja tiket itu, kerana aku akan balik seorang diri...tak sampai hati meninggalkan suami dan kucing-kucing  di KL jika aku tersadai di kampung. Tapi waktu itu aku rasa mahu menangis, lantaran rindu pada mak abah yang telah 3 bulan tidak aku ziarahi.ketika itu.

17 Mac 2020, hari terakhir dibenarkan bekerja. Aku yang baharu beberapa bulan bertukar ke Unit Ijazah Tinggi, tersangat risau kerana belum mahir menguruskan kerja. Pengurusan Fakulti sudah berpesan supaya sentiasa elert dengan  emel-emel dari para pelajar yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai masalah dalam hal pengajaran dan pembelajaran. Aku risau tidak dapat menjawab persoalan mereka dengan info yang tepat. STRESS aku.

Rakan-rakan dari unit lain nampaknya lebih teruja bercerita hal-hal ikan, sayur stok makanan untuk tempoh PKP....untungla korang tak payah fikir hal kerja. (eh...dengki pulak aku)

18 Mac 2020 - bangun pagi rasa janggal, sebab lepas subuh tak perlu bersiap ke pejabat di hari Rabu!. Menjelang tengahari talian wassup mula bizi, apatah lagi emel, dengan pertanyaan  pelajarnya, dengan pensyarahnya, dengan pentadbir Fakultinya....haisshhh teruk sungguh perkenalan aku dengan hal yang bernama WFH/BDR.

....ok..selamat malam teman maya sekalian, insyaallah bersambung jika diizin Illahi.


Thursday, December 31, 2020

YEAR END DAY

 2020

Assalamualaikum semua...

Kurang dari 12 jam lagi maka berakhirlah tahun 2020. Terasa baharu semalam kelam kabut kesibukan meledani Disember 2019; pejam celik pejam celik,  tup tup Disember 2020 juga hampir berakhir hari ini.

Begitulah masa, dengan tajam memancung detik hidup kita.


Selamat tinggal 2020, tahun dicanang dan mula disebut-sebut sejak 29 tahun lalu; dengan jenama 'Wawasan 2020' yang membuat semua makhluk di Malaysia ketika itu teruja menggambarkan segala macam kemajuan dan kecanggihan di alam ini.

Pun, ketentuan Yang Esa mengatasi segalanya...2020 berlalu dengan penuh pencaroba yang tak terduga dan mewarnai jagat dengan rona kesuraman.


Selamat datang 2021,
masih meminta agar kau berbaik-baik dengan aku.


Buat semua,
Selamat meneruskan kehidupan
selagi hayat dikandung badan.




Tuesday, December 15, 2020

Disember 2020

Masyaallah...Subhanallah...sudah pertengahan Disember 2020. 

Masa berlari sepicing tidak menoleh lagi. Tinggalkan kita kelemasan cuba menongkah arus waktu yang deras dan keras sehingga ada yang lemas.

Ada yang masih rimas, tidak ketentuan defenasi hidup, sekadar membiar angin masa berhembus dan berlalu begitu sahaja. 

Akukah yang dungu itu?

Thursday, October 01, 2020

HUJAN SATU OKTOBER DUA PULUH DUA PULUH

Pagi yang dingin 
ku putar radio
menemani perjalanan
percik air di aspal
membasah roda-roda
jua kaki kaki pejalan
yang meniti laluan
ke padang rezeki.

Tiba-tiba hati bungkam
mendengar butir berita
yang ke udara
‘kes baharu tercatat di setiap negeri’
…covid kembali meraja
pelusuk negara.

Saat ku buka pintu pejabat
di luar hujan semakin lebat
mengiringi berjuta hati yang penat
kala corona masih rakus mengambil hayat.


                           ...adinaduana/01/10/20/7.30am



...assalamualaikum kawan-kawan...semoga sihat semuanya