Monday, March 31, 2025

END OF MARCH 2025 & AIDILFITRI 2025

Catatan 29 Ramadan,

Ya Allah, memasuki fasa usia 50an tak berapa bulan lagi, Aidilfitri bukanlah yang teruja ditunggu. Perasaan biasa biasa sahaja, yang penting dapat menyudahkan ibadah puasa dalam bulan Ramadan yang bakal berakhir hari ini.

Saat teman sebaya yang punya anak, malah sudah mula ramai yang bercucu, kegembiraan mereka lain, kesibukan mereka lain, keterujaan mereka sangat extra. Tahniah kawan kawan, semoga kalian berbahagia selalu 

Saya tenang tenang saja. Serba sederhana, sesuai situasi diri. Pun begitu, sesekali tetap ada perang meletus meletup letup dalam sanubari, terpaksalah pandai pandai sorok. Yang penting nampakkan yang elok. Aman.

Bertatih tatih menuju tua, harap dapat mencapai makna tujuan dihidupkan di dunia ini. Memang, aku bukan hamba Allah yang baik, aku sangat lemah, tapi Allah yang selalu baik dengan aku, dia tetap beri nikmat kepada aku.

Sepanjang Ramadan ini aku banyak meminta dariNya untuk menjadi baik, semoga Allah bantu aku, agar terbuang semua keburukan aku.

Salam Aidilfitri buat kawan-kawan semua. Semoga kebahagiaan sentiasa mengiringi perjalanan hidup anda.

Kenangan minggu akhir Ramadan, dalam sesi photoshoot di pejabat bersama rakan-rakan




* saya masih baca blog kawan-kawan....cuma tak dapat komen, malah di blog sendiripun tak boleh balas komen kawan-kawan....

Hai.. Anies...Hai Ujie...



Friday, February 28, 2025

End Of February 2025

 Assalamualaikum semua....

Wahhh...last day Februari ya hari ini...apa khabar, harap semua sihat walafiat, dalam ketenangan hakiki dan berbahagia hati dalam apa jua keadaan.

Cerita ceriti di bulan Februari 2025.

Alhamdulillah banyak cerita bahagia yang menceriakan sanubari...


Dalam usia menghampiri 50 tahun, saya masih ada sepupu yang masih remaja dan ada juga yang baru menginjak dewasa lalu beremu jodoh...

Mariatul Fityah, anak kedua Paksu saya (adik bongsu mak) bertemu jodoh dan melangsungkan majlis pada 8.2.25 di Rinching Terrace Wedding Hall Semenyih.

Kita ni kadang-kadang balik kampung sibuk tak ketahuan, takdan jumpa saudara mara, tetapi bila ada majlis perkahwinan ahli keluarga, barulah dapat bersua muka...

Alhamdulillah, tahniah Maria dan suami, semoga berbahagia dan beroleh rahmat yang Maha Esa.

~Pengantin~

Eheh...pengantin lama...




Semoga beroleh rumahtangga yang diberkati Ilahi buat Maria dan suami...l.o.v.e


Tahniah Paksu & Maksu dapat menantu kedua...


~~~~~~~~~


Dalam usia ini juga, 

saya sudah mempunyai anak buah yang berusia 24 tahun. Jannatul Fatirah, anak buah sulung saya, anak sulung kepada abang sulung saya. Hadirnya dahulu sangat menceriakan, kini dia sekali lagi memberi keterujaan kepada ibu-ibu saudaranya. Ya, beliau yang kami panggil Kak Ira, sudah dipinang orang....Alhamdulillah. Maka mengembaralah saya menaiki ETS ke Ipoh pada 15.2.25 menghadiri majlis pertunangan Kak Ira dalam majlis yang sangat 'sweet'.

Semoga kak Ira terus menuju bahagia dan dipermudahkan segala urusan ijab qabulnya pula nanti insyaallah.





~~~~~~~~~



Akhir Februari ini, 

maka hampirlah kita dengan Ramadan. Alhamdulillah, semoga kita semua dipanjangkan usia dan berpeluang mengimarahkan Ramadan tahun ini. Bagai kelaziman, mana-mana pejabat mula berjamuan, doa selamat bagi merai kehadiran bulan mulia. Alhamdulillah, walaupun kami di pejabat pentadbiran ini hanya 8 ahli, atas ikatan hati selalu dapat berbuat sesuatu yang mengembirakan diri sendiri dan teman-teman lain.



Begitulah cerita Februari 2025 yang bakal melabuh tirainya hari ini. Untuk saya, beribu kesyukuran dizahirkan dan terus berharap masa mendatang menjadi wadah terbaik dalam kehidupan saya dan kesayangan di sekeliling saya.




Friday, January 31, 2025

31 Januari 2025

 Sepurnama sudah tahun 2025 berpaksi dan beraksi.

Apa khabar semua? Semoga baik-baik selalu hendaknya. Saya ok, Alhamdulillah.


(1) Entah kenapa, Januari 2025 jadi bulan yang paling banyak keluar duit. Hasratnya ia menjadi bulan yang paling banyak menyimpan, kerana gaji Disember sebelumnya ada lebihan dari kenaikan yang diberi kerajaan kepada 'penyain' SSPA;

Aduhhh, parah ni parah...

Erm...ok! jangan dikenang lagi apa yang dah habis eheh...

Tapi perlu melihat semula ke mana dihabiskan...oooo di sini, dah ingat:

   * Pakaian - banyaknya beli baju, kengkunun baju baharu untuk tahun baharu sebagai reward diri....dari 10 helai 4 tidak boleh pakai kerana beli online, bila dapat sangat tidak sempurna di mataku dan dibadanku...membazir betul. Takpe, sebab tak nak berdosa, biar saya sedekah pada orang tertentu yang terpilih. Harap bulan depan tiada pembelian pakaian baharu lagi, untuk cover balik duit simpanan. 

   * Che Din tidak dapat menyumbang untuk perbelanjaan rumah, sebab gangguan-gangguan dari keretanya. Aishhh...Wahai Pesona, jangan banyak makan duit ok! Harap bulan depan ini semua ok.

....reda dengan mengganggap ini diluar kawalan...jangan salahkan diri sendiri ok! Ya Razzak, kurniakan kami rezeki yang berkat dan berlimpah ruah..aminn.


(2) Innalillahiwainnailahirojiun....Januari 2025, bagai bersahut-sahutan dari tahun 2024, banyaknya berita kematian di kalangan rakan sekerja dari gred Pelaksana. Allah. Betullah, usia bukan penentu ajal. Sakit juga tidak semestinya berakhir kematian lebih dahulu berbanding yang sihat;

   * ada yang pergi pada umur muda, ada yang pergi pada usia hampir bersara, ada yang pergi selang sebulan selepas bersara, ada yang pergi kerana telah sakit lama, ada yang pergi tiba-tiba...

   * melihat kematian-kematian ini, saya terfikir....untuk pegawai kerajaan bergred rendah macam saya ini (Pelaksana) apa perlunya saya mengikat perut untuk menyimpan di hari tua? gaji tidak besar, tapi struggle nak menyimpan...buatnya umur tak panjang? jeng jeng jeng...ikut hati nak belanja je sesuka hati....tapi tulah;

...tulah tu...tak boleh maknanya, Dalam duit kami ada duit orang lain...begitulah..

ok, jangan fikir dah.


(3) Niat untuk selalu berbuat baik - ini salah satu wishlist saya sewaktu tirai 2025 dibuka. Saya sangat beharap selalu dapat berbuat kebaikan - kepada ahli keluarga, teman-teman sekerja, makhluk comel dan lain-lain....setakat ini alhamdulillah...masih berpaksi di radar janjiku.


Kawan-kawan, doakan saya menjadi hamba Allah yang semakin baik dari semasa ke semasa. Mana tahu, ada doa kawan-kawan yang di angkat oleh Rabbul Jalil...mudah mudahan...Amin. Saya juga sentiasa mendoakan sesiapa sahaja yang terbaca coretan saya ini agar di pelihara oleh Yang Maha Esa dengan penuh kebaikan.


Jumpa lagi!


Bergumbira dengan rakan-rakan yang berulangtahun kelahiran pada Awal Januari 2025












Thursday, January 02, 2025

Eh! 2025

 Assalamualaikum teman-teman yang masih menyinggahi dunia blogging.


Apa khabar? semoga sihat sejahtera hendaknya.

Januari 2025? last post saya Januari 2024....wahai...haha


Dengan berlabuhnya tirai 2024 dua hari lalu, saya berharap ia menyeret sekali kisah-kisah 'tidak cantik' yang berlaku dalam ruang emosi dan kehidupan saya. Tidak kiralah apapun, memang banyak yang tidak cantik berbanding cantik.

Arakian, dengan izin Allah, saya mengimpikan 2025 akan menyapa saya dengan baik untuk seluruh isi kehidupan saya. Insyaallah.

Dengan munculnya 2025 semalam. maka usia saya juga sebelah kaki sudah memasuki usia jubli emas, menuju 25 Jun 2025 maka akan genaplah saya berusia 50 tahun. 10 tahun lagi, jika panjang usia, bergelar warga emaslah saya.

Saya rasa, masa terlalu magik berlalu. Entah apa saja yang saya buat dalam hidup ini, hingga tak sedar saya sudah berusia sebegini.

Anda bagaimana? berapa usia anda tahun ini..., walau berapapun - saya doakan anda beroleh semua kebaikan hidup di dunia dan akhirat.

Jumpa lagi!


Belanja seketul foto semalam, sempena Anniversary ke 22



Thursday, January 11, 2024

Januari 2024

Assalamualaikum...hai hello,

apa kabor gang maya semua, yang masih setia berblogging, yang masih suka tulis-tulis dan baca-baca.

Dengan jelmanya tahun 2024, maka berangkat setahun lagi usia kitakan...

Selamat Tahun Baharu!

Semoga kita semua snetiasa dalam rahmat Allah SWT, dalam meniti masa yang berdetik dalam wadah usia kita.

Azam?

Oh...seram. Buat diri ini, azam sudah menjadi perkara yang patut dilupakan. Hanya mahu meneruskan hidup seadanya takdir.


Anda pula bagaimana?

Saya doakan apa sahaja yang dihajati akan dimakbulkan oleh sang pencipta. Amin.


Saya dan Che Din,

Meniti ke tahun yang ke 21 hidup berijabkabul - mohon doakan kami bersama hingga ke syurga.

Terima kasih.




* saya masih baca blog kawan-kawan, tetapi maaf saya memang takboleh tinggalkan komen....mungkin office ni sekat kut.


 antara yang masih saya lawati

https://ujieothman.blogspot.com/

https://aniesandyou.blogspot.com/

https://ieta-myblog.blogspot.com/


Wednesday, September 13, 2023

SEPTEMBER 2023

Subhanallah.....

-dari posting terakhir pada Mac 2023 kini sudah menjengah September 2023, lajunya masa berlari.

Apa khabar kawan-kawan yang masih setia ber blogging? Doa saya semoga anda semua dalam peliharaan Allah swt., berbahagia dengan kehidupan yang dilalui dan dipermudahkan segala urusan hidup di dunia ini.

Saya, seperti yang dicerita dalam post Mac lalu- masih memegang positif, cuba terus positif dan sentiasa berdoa agar sentiasa positif minda, namun antara senggang waktu, kadangkala saya tewas juga.

Fasa turun naik emosi sangat colourful. Enak sungguh emosi ini mempermain-mainkan jiwa saya, haishh... hahaha...

Kawan-kawan,

Panjang umur kita jumpa lagi ya!


Assalamualaikum semua.

Wednesday, March 01, 2023

MAC SUDAH!

1 Mac 2023

Assalamualaikum semua....

harap berada dalam situasi yang menyenangkan, ceria dan bergirangan di samping yang tersayang.

Mac bermula dengan basah ya.

Di sini hujan renyai sejak subuh, dan hingga saat jemari saya menulis ini renyai masih belum berjeda.

Nyaman suasana melihat titis-titis halus merembas dari kelopak langit nan tinggi. Pun jangan pula suka-suka bermain hujan....bisa sakit kepala jika terkena hujan sebegini, kalau badan tidak tahan.


Saya ok.

Erm...maksud saya, berkaitan kesihatan saya. Penghujung Februari saya mendapat sedikit kekuatan merubah emosi saya ke arah yang lebih positif.

    - tukar mindset

    - banyakkan berdoa

2 perkara ini yang saya buat.

Alhamdulllah buat masa ini saya ok. Yang mendatang saya belum tahu. Jadi saya hanya mengikut peredaran waktu, di samping meneruskan 2 perkara ini.


Terima kasih kepada rakan-rakan blogger yang sudi memberi nasihat dan saranan, untuk saya cuba.


Jumpa lagi.


Wassalam.

Thursday, February 02, 2023

Tak Boleh Komen

 


Kawan-kawan...saya dah ziarah blog kawan-kawan, tapi saya tak boleh komen....tahu tak kenapa eh...


403. That’s an error.

We're sorry, but you do not have access

Thursday, January 26, 2023

2023, tolong berbaik dengan aku!

Assalamualaikum semua yang masih tekun membaca dan sudi berziarah ke blog ini. Semoga kalian dalam rahmat Allah SWT dan beroleh keberkatan hidup dalam meniti usia yang masih berbaki.

Wow, tersedar sudah hampir ke penghujung Januari 2023. Belum sempatpun saya mengucapkan selamat tahun barharu kepada kawan-kawan, pantas betul masa berlari, terkehel saya dibuatnya.

Imbas sedikit tahun 2022 - saat melangkah ke suku terakhir tahun  itu, adalah merupakan saat termurung saya setakat ini. Pada waktu itu, saya sangat mahu 2022 berlalu pergi dengan cepat. Saya penat, saya menyampah, saya meluat.

Bermula Oktober, selepas saya berkonfrantasi dengan pihak Klinik Gyne berkaitan hal pembedahan, dengan Klinik Psikaitri yang saya rasa tidak membantu, saya diamuk bermacam emosi buruk.

Emosi buruk itu terbawa-bawa ke ruang kerja saya. Saya jadi tidak suka kepada rakan sekerja, malah saya tidak suka kepada ketua saya, gara-gara saya rasa mereka tidak memahami situasi sakit saya. Saya dibebani dengan tugas-tugas yang tak semena-mena menjadi tugas saya akibat kesilapan percaturan pihak pengurusan.

Kesudahannya, saya menjadi tidak seronok untuk hadir bekerja. Saya berkira-kira mahu memohon pertukaran ke PTj lain, sebagai protes terhadap pihak pengurusan.

Biarlah walau belum 2 tahunpun saya di sini, nak buat apa tunggu kalau hati tidak gembira. Ada terfikir, jika emosi saya yang bermasalah, pergi bertukar kemanapun kau tak akan gembira...ya saya tahu itu, tapi biarlah...itu sahaja yang mampu saya fikir buat masa ini. Kadangkala saya hanya mahu tisur sepanjang masa, supaya tak memikirkan hal-hal sekeliling.

Oh tuhan...mohon petunjuk Ya Rabb...

Saya perasan, takdir sakit ini menyebabkan saya mudah menjadi pembenci, saya benci pada semua perkara yang ada di keliling saya, saya benci pada semua perkara yang berlaku kepada saya, saya benci rupa paras saya, saya benci diri sendiri -  jadi apa yang dapat membantu saya?

...rapuhnya rasa...


'langit 2023

payungi aku dengan kasih sayangmu

aku resah menilai hatiku

aku buntu memahami jiwaku

bantu aku

berbaiklah dengan aku'




Tuesday, September 27, 2022

SESI BERSAMA PSIKIATRI

Haha....

usai sesi bersama psikiatri semalam saya hanya mampu ketawa pendek; sebab tidak tahu ia berhasil atau tidak memadamkan amarah saya.

Kosong.

Dalam sesi yang dipanggil sesi temubual  oleh psikiatri itu ia berkisar :

1) keadaan emosi saya ketika saya mendapatkan surat rujukan ke klinik psikiatri

2) keadaan emosi saya sekarang

3) 8 soalan test emosi yang saya isi dalam borang

4) go through jawapan saya setiap satu (3) 

5) latar belakang keluarga dan akademik saya

6) kesimpulan

7) saranan beliau


Saya terus kepada (6) kesumpulan ;

- emosi saya masih terkawal

- tidak menghadapi 'depression' 

- saya msih boleh menjalani hidup yang normal

- saya tidak perlukan ubat


(7) Saranan Dr. Psikiatri itu;

     - Hospital tidak boleh dipersalahkan atas penyakit yang saya alami

     - Ini adalah ujian 

     - Sekiranya ada rasa amarah kepada hospital, boileh mencuba rawatan di hospital lain

     - Soal pembedahan, buat solat istikharah, catatkan kebaikan dan keburukan pembedahan

        itu


.....maknanya saya ok jela kan ni...

tapi dia masih nak jumpa saya 4 bulan lagi!


....saya rasa buang masa....

Tuesday, August 23, 2022

MEMBUAT KEPUTUSAN (11)

Assalamualaikum semua yang masih sudi hadir ke teratak jiwa saya ini.

Di pagi Selasa yang dirai deraian hujan ini, semoga segala doa untuk kebaikan kita di angkat dan dimakbul oleh Allah SWT.

Semoga saya dan anda, juga orang sekeliling yang kita kasihi dalam peliharaaan Yang Esa, sihat tubuh badan, berbahagia jiwa raga.

Jika dalam situasi diuji, semoga dipermudahkan urusan dan dipertingkatkan kesabaran dan keredaan.

Saya Angah,
Akhirnya telah menangguh temujanji dan jadual pembedahan. 

Ditakdirkan saya sakit perut cery bery tanpa sebab yang boleh dikaitkan, padahal makan saya tiada yang pelik, lalu membawa saya berjumpa Doktor di kawasan tempat kerja. Akhirnya terkait, bahawa jika kita terlalu stress perut kita boleh meragam juga. Doktor pula jenis peramah dan sudi mendengar 'bebelan' saya. Akhirnya dia mengeluarkan surat rujukan untuk saya bertemu psikiatri.

Saya gembira?
hahahaha...lucu pulak, kalau gembira jumpa psikiatri. Sebenarnya lebih kepada lega. Lega dapat extend sikit tarikh pembedahan. Lega memikirkan mungkin pakar yang saya akan jumpa nanti akan dapat melerai sedikit trauma saya...mungkin.

September 22, 2022 - tarikh temujanji yang saya perolehi untuk berjumpa pakar psikiatri.....demikianlah pelarian saya, pelaraian yang belum tahu hujung ceritanya.

Sekadar berkongsi,
Semasa saya bleeding tanpa henti berbulan-bulan hari tu, atas nasihat mak saya, saya mengamalkan surah  Al-Fil, sebanyak 21 kali setiap hari selepas solat asar, selama 21 hari tanpa tinggal, jika terlupa, perlu ulang dari mula.

Ajaibnya kuasa Allah, selepas hari ketiga, beleeding saya sudah berhenti. Kini sudah 2 bulan period saya normal. Alhamdulillah.

Saya kongsikan juga cara amalannya:

1) 1 x Al-Fatihah
2) 3 x Al- Ikhlas
3) 3 x Selawat Nabi
4) 21 x Al-Fil (21 hari berturut-turut) buat hari-hari lagi bagus...

Begitulah, semuanya dengan kehendak Allah.

Usaha dan Reda.

 


Wednesday, August 03, 2022

MEMBUAT KEPUTUSAN

Semasa temujanji pada 23 Jun 2022,

Doktor melakukan ultrasound di abdomen, dan mendapati rahim saya terlalu tebal kerana Endometriosis.

Bukan lagi fibroid, bukan juga cyst yang disebut-sebut sebelum ini....

Saya memang perasan, perut saya memang agak besar. Mak saya pun pernah tegur sewaktu Aidiladha hari tu, beliau meminyak dan mengurut perut saya..''ish ish...pasei apa melembang sangat perut ni..."

Ya, itulah Endometriosis:

Penyakit Endometriosis
Endometriosis pula ialah satu keadaan dimana selaput endometrium ini bukan sahaja tumbuh didalam rahim, tetapi juga diluar rahim seperti pada salur fallopian, ovari atau usus-usus kecil atau besar. Ia dipanggil implan.­­

Memandangkan implan ini terbentuk diluar rahim, ia mengalami kesukaran keluar daripada badan sewaktu haid dan menyebabkan kesakitan.
Lama- kelamaan, darah akan berkumpul dan membentuk ‘cysts  serta menyebabkan perekatan (adhesion) yang menyukarkan pembenihan. - Portal MyHealth

Down.

Doktor separati maklum bahawa saya agak keberatan melakukan pembedahan bagi kali ke-tiga, jadi beliau mencadangkan saya 'mencuci' rahim (D&C) untuk menyedut darah-darah yang melekat, selepas itu memasang Merina alat seperti IUD untuk mengelakkan pendarahan bagi tempoh 5 tahun, sehingga usia menopause sebenar saya.

Oleh kerana perasaan saya berbaur kerana drama 'tangisan', jadi saya tanpa berfikir panjang bersetuju cadangan doktor untuk melakukan proses D&C asalkan saya tidak dibedah.


ini alat yang dikatakan boleh menghalang pendarahan


Dengan persetujuan itu, saya perlu menjalani beberapa siri check-up:

1) ujian darah
2) ujian di klinik anestatik
3) swab
4) proses D&C

Saya jalani perkara 1 & 2.....tiba-tiba, melintas di fikiran saya...D&C ini sungguh menakutkan...

...akhirnya, saya tidak jadi buat D&C, memikirkan risiko yang agak menakutkan.

Saya diminta ke Gyne semula, pada tarikh yang sepatutnya saya di D&C....

...saya takut dimarahi doktor sebenarnya...dan ye...ayat pertama doktor....'why...what happen  dah beri tarikh cancel pula....

kecut saya, walaupun perlahan tapi nadanya sungguh dalam, dah la ada 2 ketul doktor pelatih dan seorang pesakit dan doktor lain dalam bilik sama....

doktor ulang, 'why puan.....'

terpaksa lah saya jawab, 'saya nak bedah full, tak nak D&C, sebab dua-dua pun saya kena full bius...saya takut D&C tak berjaya, akhirnya kena bedah full juga'

tapi sebenar-benarnya, itu bukan jawapan yang saya nak beri...tapi cuak tengok reaksi doktor punya pasal, itu jawapan yang saya rasa selamat...adehhh

Doktor laju ucap tahniah, 'very good decision'  - lalu memberi tarikh bedah pada 26 Oktober 2022

...dan sejak hari itu fikiran saya tak menentu, kadang rasa kosong, kadang cemas, kadang saya shaking dan seram sejuk...

Patutkah saya jumpa psychologist? sekurang-kurangnya untuk menenangkan saya? 

arghhh...







Friday, June 24, 2022

TERAPI HORMON (II)

 Assalamualaikum.

Salam Jumaat penghulu segala hari.

Semoga semua dari kita yang hadir ke sini berada dalam perlindungan rahmat yang maha Esa.


Agak lama 'termenung' kisah hormon ni ya...

Sekadar memaklumkan bahawa terapi hormon terdahulu tidak berjaya. Bagai air lalu sahaja, tiada meninggalkan kesan positif terhadap permasalahan yang dialami.

27 Mei 2022, saya kembali menyerah diri ke PPUM, pendek cerita - saya diberi ubat lain untuk dicuba. CUBA...penat dengan hal cuba dan cuba sebebanarnya, tapi apa pilihan yang saya ada?

Ya, saya perlu CUBA:


Ubat ini , untuk tempoh 7 hari, sebelum temujanji lagi sebulan.


Selepas sebulan, pada 23 Jun 2022 saya kembali ke PPUM dengan rasa pelik dan berat jiwa - saya nyatakan bahawa ubat ini juga gagal befungsi pada keadaan saya- itu yang pelik. Ntah apa la penyakit saya ni...semua ubat pun seakan tak lut.

Pertemuan dengan doktor kali ini saya agak beremosi dan sedikit 'drama', saya menangis depan doktor;
bukan kerana sedih dengan penyakit, tapi saya sakit otak sebab perlu menceritakan lagi dan lagi sejarah penyakit, kerana saya berdepan dengan doktor baharu, bukan dengan doktor yang sama dalam 2 temujanji yang lalu. Saya fed-up nak ungkit sejarah sakit berulang-ulang...

Doktor itu terdiam dan menganggap saya mengalami depresi...malah sekonyongnya dia memberi cadangan untuk merujuk saya ke psikiatri.

Oh ya, saya ada sebut saya depress sebab banyak sangat ubat yang saya kena makan kepada doktor yang terdahulu!...direkod rupanya.


'Deras hujan turun di pagi Jumaat
Sederas degup jiwaku yang penat'

                                                 ...penat/adinaduana/24.6.22



Jumpa lagi...



Wednesday, March 02, 2022

TERAPI HORMON

Untuk kali ketiga.

Maknanya saya bakal dibedah buat kali ketiga.

Kerana seingat saya setiap kali sist dan fibroid membesar, ia perlu dibuang melalui pembedahan.

Terapi hormon selama 3 bulan adalah kemestian untuk tujuan mengecilkan saiz ketumbuhan.

Ia perlu supaya pembedahan lebih senang dijalankan tanpa luka yang terlau besar.

..itu kata Doktor...

Jadi saya dapat ubat ni, ubat hormon menghentikan pendarahan yang nama lainnya pil perancang dan nama sebanarnya ialah - Medroxyprogesterone Acetate.


Saya perlu makan 2 biji pagi dan 2 biji malam.

Saya dibekalkan ubat ini untuk 3 bulan sebelum berjumpa Doktor semula. 


Sebenarnya saya patut mula makan ubat ini mulai November 2021...saya bertangguh, kerana cuba menafikan bahawa saya perlu makan ubat ini. Depresi saya...

Saya cuba berharap ini semua dongengan sang Doktor kerana Doktor ingin membedah saya dengan tujuan penyelidikan dia. Seperti pembedahan-pembedahan sebelum ini. Saya tak tuduh, tapi hakikat rawatan sebelum ni, 'serumpun' pelajar perubatan mengelilingi saya saat rawatan!

Tak mengapa saya anggap ini sedekah.


Akan tetapi pada kali ini jiwa sangat memberontak, mungkin faktor usia....minda tidak putus berfikir, mengapa saat usia pertengahana 40-an saya masih berpenyakit sama?

Sungguh saya susah untuk terima.

Pun, akhirnya saya perlu makan ubat ini kerana 'bleeding' yang berpanjangan pada bulan Februari 2022.

Maka...perlu bersedialah saya untuk pembedahan, walau saya berharap ia tidak perlu dilalui lagi, saya berdoa ada keajaiban berlaku. Saya tak mahu dibedah lagi!


Tak mahu!


Wednesday, January 19, 2022

19th Anniversary

 Assalam....ini cerita 1 Januari 2022

Makan genaplah pernikahan angah dan che din menuju angka ke 19 tahun, mohon doa dari kawan-kawan agar kami sentiasa dalam rahmat Allah swt dan berbahagia sehingga ke Jannah. Doa kami sentiasa kuat dengan aap yang ditakdirkan untuk kami.


Terima kasih.




Friday, December 31, 2021

2021 YANG BERANSUR PERGI

Terakhir harinya 2021,
tahniah, yang menempa kejayaan dan kebahagiaan
teruskan bersama kebaikan yang banyak

takziah, yang merasa kecundang dalam hidup
namun jangan pula berduka berpanjangan
Perjuangan hidup perlu diteruskan selagi nyawa dikandung badan

aku,
terima kasih 2021
ada manis, ada sedikit kelat
yang manis itu ubat, yang kelat itu malah ubat paling mujarab
cermin di sisi
muhasabah diri
semoga 2022
berbaik baik dengan aku

selamat jalan 2021,
tinggalkan aku dalam pelangi pengalaman penuh makna
agar dapatku singkap jendela esok dengan senyuman dan lebih ketabahan.

                                                                                           ...adinaduana-tulistulis
                                                                                                                                31/12/21





Monday, December 13, 2021

EPISOD BERULANG

 Assalamualaikum semua,
semoga dalam kenyamanan jiwa dan beroleh kebaikan dan rahmat dari Allah swt.

...apapun situasi kita sedang lalui, mari dahului dengan rasa penuh kesyukuran dan sentiasa berdoa untuk kebaikan tanpa jemu.

Ini bukan cerita tidak bersyukur..cuma saya mahu berkongsi perasaan.

...tersepit dalam situasi sama berulang-ulang, sangat membuahkan penat. Terdetik dibenak fikir...'lagi? haihh! 


Puisi ini saya tulis saat ke a'down'an

Saat aku merasa
Keras ujian mendatangi semula
Nyata kentalku merapuh lentur
Lantaran cerita berulang
Membuatku terasa malang

 Uji itu ujianlah
Takdir itu takdirlah
Aku itu akulah,
Berdiam
Tumpul
Terpadam bara

 Pun,
Aku masih mahu senyum
Manisku masih mesra
Menyapa hati mereka
Yang perlu kuberi bahagia


Wassalam.

Monday, November 29, 2021

MERASA BAGUS ATAU BETUL-BETUL BAGUS

Salam semua,

Apa khabar? harap semua berada dalam suasana nyaman dan tenteram jiwa raga.

Saya...semakin berganjak usia ini, terperasan saya semakin menjadi pemerhati dan pengulas, menjadi terlalu peka pada suasana dan segala macam isinya.

Setiap saat yang saya lalui samada berkait atau tidak sengaja terkait akan menjadi bahan untuk saya berfikir dan menilai setiap sudut dan inci mengikut pemahaman dan anggapan saya. Mungkin tepat mungkin tidak, mungkin ada yang bersetuju atau mungkin ada yang tidak bersetuju. Tak mengapa, saya berdamai dengan semua pandangan.

Bagus pada saya adalah dinilai pada sikap dan hasil kerja. Bukan pada lidah yang berkata-kata. Pada saya lidah selalu berdusta dan bertujuan mengaburi kebenaran.

Orang yang betul-betul bagus, dia akan memastikan kerjanya sempurna, bermanfaat, tidak menyusahkan dan memudahkan urusan orang lain dan yang penting dia tidak mencanang apa yang diusahakan. Orang begini dia faham, dia tidak perlu bercerita sebaliknya membiarkan orang lain yang menilai. Saya suka orang yang begini. Ini orang yang BAGUS pada saya.

Tetapi sayang, mutakhir ini sering pula saya berjumpa dengan orang yang terlalu 'menjual' diri. Bagus untuk orang berniaga, tetapi untuk yang bekerja di pejabat di peringkat pentadbiran tidak ada keperluan pun bagi saya.

Saya gagal mencari sebab, mengapa orang begini terlalu inginkan orang lain tahu apa yang mereka kerjain. 

Mencari populariti? ya, mungkin mereka dapat itu...

Mencari pengaruh? ya, mungkin juga...

Tapi jangan lupa, yang tak kau cari juga kau akan dapat...iaitu ketidaksukaan orang terhadap kamu. Ini kerana kamu terlihat sangat mencuba untuk 'show-off' - nampak bagus.

Hei! bagus bukan untuk kau rasa, tetapi biar orang lain menilai, dengan itu kau akan lebih bernilai di mata orang.


Jadi, lek lek ok!






Wednesday, November 10, 2021

EMOSI

 

Pagi ini hujan lebat

Lif pulak buat hal, tak buka pintu bila sampai G, malah naik semula ke tingkat atas, 2 kali, 2 kali you….hangat je hati.

Ngenangkan hujan, dah tentu speed akan slow,  tentu jalan jem…haishhhh. Mula la mulut keluar ayat-ayat puaka!

Eii…tak memasal pagi-pagi ni muka cemberut dan lidah khianat.

Kesian kucing-kucing di kaki lima, di parkir yang selalu tunggu, aku buat tak tahu je, padahal bekalan makanan memang sentiasa ada dalam beg. Panas hati punya pasal, pahala sedekahpun terlepas hari ni…apa punyer turrr.

Nasib baik masih sempat sampai ke pejabat on time. Sambil mengelap-ngelap kaki yang basah, buka what-apps, kut-kut ada mesej penting. Terbaca status seseorang tentang – kita adalah apa yang kita cakap, tutur – dan sewaktu dengannya. Jika buruk keluar dari mulut kita, itulah gambaran diri kita. Pang! Rasa terkena lempang di pipi sendiri lalu menyesal seluruh jiwa.

Jadi,

Sukar manapun hari yang kita lalui….ucaplah kata-kata yang baik – masyaallah, allah…instead of bullshit, celaka, bodoh…bla bla…

Ok…happy working!

 

…adinaduana-tulistulis.


Monday, November 01, 2021

TOKSIK

...macam mana eh? seminggu dua di penempatan baharu ni,  terjumpa 2,3 orang manusia yang sikapnya amat menjengkelkan. Lecehnya.

...saya dah lah memang jenis yang cepat menyampah kat orang, tak boleh kontrol-itu memang kelemahan saya.

Allah...mohon kekuatan Ya Rabb...lapangkan dada, lapangkan hati dan minda ini.


TOKSIK

Mengikut En. Kamus Dewan - 

Definisi : beracun: bahan-bahan ~, asap dan bahan buangan kimia yg menyebabkan pencemaran alam; ketoksikan keadaan atau tahap (darjah) ber­acun: logam strontium dan lantanum mem­punyai kelarutan dan ~ yg rendah; komponen virus dlm vaksin influenza mempunyai ~ yg menyebabkan rasa sakit di tapak suntikan dan demam. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

...selalu dengarkan orang beri motivasi 'jauhi orang bersifat toksik...' sebab? kerana jika berada di samping orang yang bersifat toksik, jiwa kita akan merudum, sebab si pencerita ni semua tahu, semua orang ikut cakap dia, semua orang lain tak betul...diri sendiri je betul...eh!!

...saya nak cerita, kisah saya pada minggu-minggu pertama bertukar PTj (Pusat Tanggunjawab), ada seoarng 'insan' ni, asyik bercerita tentang kesibukan dia, buka mulut je semua tentang kerja yang banyak yang dia kena buat, itu, ini, begitu, begini...

...sekali dua ok lah, saya dengar dan beri respon...tapi lama-lama saya dah tak kuasa, sebab pada akhirnya saya dapat tangkap bahawa dia orang yang sangat rapat dengan big boss PTj ini. Dia memang berniat nak beritahu, semua yang dia buat adalah untuk big boss dan big boss pun ala-ala 'tak boleh hidup' tanpa dia katanya...haihh??

Apa motif kau nak cerita semua tu...

Jujur, saya rimas.